Pegawai Daerah Petaling, Dato’ Johary Anuar membuka sekatan pagar simbolik penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Damai, PJS 8, Petaling Jaya pada 26 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Gerak kerja tersusun faktor PKPD Apartment Damai tamat awal

PETALING JAYA, 26 JULAI: Gerak kerja sistematik Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling menjadi faktor Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Apartment Damai PJS8 di sini ditamatkan enam hari lebih awal.

Pegawai daerah Petaling berkata perancangan dan penelitian demografi penduduk kawasan itu selain bantuan pelbagai agensi memainkan peranan PKPD itu hanya dilaksana dalam tempoh lapan hari.

“Gerak kerja tersusun membolehkan semua dilakukan seperti dirancang sekali gus menamatkannya lebih awal dan membantu penduduk kembali menjalankan aktiviti ekonomi,” kata Datuk Johary Anuar pada sidang media penamatan PKPD Apartment Damai, malam tadi.

Katanya, kerjasama penduduk untuk terlibat dalam aktiviti saringan dan program vaksinasi juga turut membantu mencapai sasaran yang ditetapkan.

Johary berkata ini adalah kali kedua PKPD ditamatkan lebih awal di Petaling Jaya selepas PKPD Mentari Court pada 12 Julai lalu.

“Kita bersedia berkongsi pengalaman serta pandangan dengan mana-mana pihak di kawasan lain bagaimana kita mengendalikan PKPD di kawasan Petaling ini,” katanya.

Semalam, Johary berkata seramai 1,279 penduduk pangsapuri berkenaan selesai menerima vaksin yang dimulakan sejak 23 Julai dan susulan itu pihaknya memohon penamatan PKPD lebih awal kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Timbalan perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan PKPD Apartment Damai  ditamatkan lebih awal selepas dikenakan perintah berkenaan bermula 18 Julai lalu.


Pengarang :