Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di PPV Pusat Perubatan MSU, Shah Alam pada 11 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Polis: Jangan tular terus, guna saluran betul lapor masalah berkaitan vaksin

ALOR SETAR, 26 JULAI: Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan saluran yang betul sekiranya mereka berdepan dengan sebarang isu berkaitan dengan pemberian vaksin Covid-19, dan bukan terus menularkannya.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata polis akan membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya jika menerima laporan berkaitan salah laku yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang terlibat dalam pemberian vaksin berkenaan.

“Kalau ada sebarang masalah berkaitan vaksin, lapor kepada pihak berwajib dan elak menularkan perkara berkaitan di media sosial kerana ia akan mendatangkan masalah kepada orang lain. Sekiranya, ada laporan polis dibuat, siasatan akan dilakukan.

“Contoh, jika ada dakwaan mati selepas terima vaksin, sahkan dahulu apa punca sebenar. Kalau tidak benar jangan tularkan sebab ia akan menggusarkan orang lain dan maklum pada pihak yang terlibat supaya tidak timbul perkara tidak sepatutnya,” katanya selepas mengadakan lawatan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Alor Setar Utara di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu suntikan vaksin Covid-19 ‘kosong’ dan dakwaan kononnya berlaku kematian selepas menerima vaksin yang tular di media sosial.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin memaklumkan hanya satu kes daripada 13 laporan polis berhubung isu suntikan vaksin Covid-19 ‘kosong’ berlaku disebabkan kecuaian, manakala selebihnya tiada bukti kukuh seperti yang didakwa dan tular dalam media sosial.

– BERNAMA


Pengarang :