Tinjauan ke kilang Top Glove di Jalan Teratai Meru, Klang pada 8 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan pusat boleh tutup kilang, guna akta kawalan penyakit, kata peguam

SHAH ALAM, 12 JULAI: Kuasa untuk menutup kilang bagi membendung penularan Covid-19 terletak di tangan kerajaan pusat melalui Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), tegas seorang peguam.

“Akta ini adalah undang-undang persekutuan yang memberi kuasa kepada menteri kesihatan untuk membuat deklarasi ‘kawasan jangkitan’ serta mengeluarkan peraturan-peraturan yang perlu bagi mengawal wabak dalam ‘kawasan jangkitan’.

“Inilah punca kuasa bagi kesemua Perintah Kawalan Pergerakan dan juga tatacara operasi piawai Majlis Keselamatan Negara yang diguna pakai sepanjang krisis Covid-19,” kata Syahredzan Johan di Twitter hari ini.

Beliau mengulas isu sama ada kerajaan Selangor melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh menutup kilang sewenang-wenangnya bagi mengawal penularan wabak di negeri ini.

“Akta 342 ini juga membolehkan Kerajaan Persekutuan untuk menentukan sektor ekonomi yang mana boleh beroperasi, termasuklah sektor perlu (essential) yang boleh beroperasi menggunakan surat yang dikeluarkan oleh sistem CIMS Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” tambahnya.

Syahredzan menjelaskan Selangor melalui PBT mempunyai kuasa bawah Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171) tetapi ruang bertindaknya terbatas dan tidak boleh melanggar kuasa kerajaan pusat.

“Budi bicara untuk membatalkan lesen mestilah berkaitan dengan pelanggaran syarat-syarat dalam lesen yang diberikan dan bukannya atas sebab perkara-perkara yang tiada kaitan dengan lesen itu,” katanya dalam ulasan enam halaman.

“Undang-undang kecil yang dibuat oleh PBT tidak boleh bercanggah dengan Akta 342. Jika mengikut Akta 342 sesetengah jenis kilang boleh beroperasi, maka undang-undang kecil PBT tidak boleh ‘mengatasi’ Akta tersebut.”

Tambahnya, undang-undang kecil PBT tidak boleh sesuka hati digunakan untuk menutup kilang yang sememangnya sudah mempunyai lesen untuk beroperasi.

“Dalam keadaan di mana terdapatnya percanggahan di antara undang-undang negeri dan undang-undang persekutuan, undang-undang persekutuan akan mengatasi undang-undang negeri,” tegasnya.

UNTUK KENYATAAN PENUH, klik pautan berikut: Kerajaan pusat banyak kuasa tutup kilang bawah akta kawalan penyakit


Pengarang :