Tiga adik beradik dari Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1) Siti Nur Alisha Dania, 12, Muhammad Afif Darwish, 7, dan Muhammad Alif Daniel, 9, mengikuti pembelajaran dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian ketika tinjauan pada 20 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerjasama ibu bapa, guru perlu bagi kelancaran PdPR

SHAH ALAM, 7 JULAI: Ibu bapa dan guru perlu bekerjasama untuk memahami serta menyelami tanggungjawab satu sama lain demi kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Gunaan Universiti Multimedia (Psikologi) Dr Hawa Rahmat berkata sekiranya kedua-dua pihak tidak bekerjasama, ia hanya memberi kesan buruk kepada pelajar.

“Contohnya, guru memberikan kerja rumah tetapi pelajar tidak melakukannya. Cuba ibu bapa letakkan diri di tempat guru itu dan memahami perasaan mereka dan begitu juga sebaliknya.

“Oleh itu, penting ibu bapa dan guru memahami satu sama lain. Jika terdapat sebarang masalah, mereka perlu berbincang dan bertolak ansur sekali gus dapat membantu anak-anak dalam pembelajaran.

“Ibu bapa juga perlu mengambil berat dengan cuba mempelajari aplikasi yang digunakan guru bagi memudahkan proses PdPR,” katanya pada program bual bicara PdPR:Cabaran emosi di sebalik layar secara langsung melalui Facebook Media Selangor.

Menurut Dr Hawa lagi, ibu bapa dan guru kini sedang menghadapi proses transformasi baharu iaitu proses PdPR dengan menggunakan teknologi terkini.

“Perubahan baharu pasti memberi kesan dan tekanan kepada kedua-dua pihak terutama guru kerana sebahagian daripada mereka juga bergelar ibu bapa.

“Golongan pendidik ini perlu diberikan sokongan moral supaya tidak terkapai-kapai sehingga boleh mengakibatkan mereka mengambil tindakan kurang bijak sehingga membunuh diri akibat terlampau tertekan,” katanya.


Pengarang :