Datuk Rizam Ismail berucap ketika sesi perbahasan sidang Dewan Negeri Selangor pada 13 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ketua pembangkang Selangor desak PM letak jawatan

SHAH ALAM, 31 JULAI: Ketua pembangkang Selangor menyeru perdana menteri meletak jawatan berikutan Yang di-Pertuan Agong menzahir rasa “amat dukacita” atas pembatalan Ordinan Darurat tanpa sebarang perbahasan di Parlimen.

Rizam Ismail menegaskan kenyataan Istana Negara jelas menyebut kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin “dengan sengaja telah ingkar dan melanggar titah”.

“Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong…jelas mahu cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan (pengundian) sejajar dengan maksud Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Rizam juga menyifatkan Muhyiddin melanggar sumpah jawatan untuk sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong dan mempertahan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang juga ketua Pemuda Umno Selangor menegaskan pandangan mereka selari dengan Pemuda Umno Malaysia.

“…desakan pemecatan perdana menteri ini harus dilakukan demi mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Malaysia dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Pada 29 Julai, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa “amat dukacita” dengan pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda.


Pengarang :