Petugas kesihatan memakai kelengkapan alat perlindungan diri (PPE) ketika memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 di Unit Rawaan Rapi Hybrid Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada 11 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM: 209 kes Covid-19 babit kategori tiga hingga lima

SHAH ALAM, 22 JULAI: Sebanyak 1.6 peratus atau 209 kes daripada 13,034 jangkitan baharu Covid-19 direkodkan hari ini membabitkan kategori tiga hingga lima, maklum ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu 13 kes kategori lima iaitu kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan manakala 72 kes kategori empat (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen) serta 124 kes kategori tiga (radang paru-paru).

Jelasnya, kes kategori dua (gejala ringan) sebanyak 5,646 kes manakala kategori satu yang tidak bergejala, 7,179 kes.

“Ada di antara mereka kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga berubah status kesihatan mereka sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Malaysia mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 sebanyak 1.09 hari ini dengan Terengganu merekodkan nilai tertinggi dengan 1.31.

Menurutnya, negeri lain mencatatkan Rt melebihi 1.0 adalah Kedah (1.25), Sabah (1.21), Pulau Pinang (1.21), Johor (1.20), Pahang (1.19), Putrajaya (1.18), Kelantan (1.18), Selangor (1.15), Perak (1.12), Negeri Sembilan (1.10), Melaka (1.10), dan Kuala Lumpur (1.07).

Rt menunjukkan kadar secepat mana Covid-19 merebak.


Pengarang :