Kontena khas yang ditempatkan di Hospital Sungai Buloh sebagai tambahan tempat penyimpanan jenazah atau mayat mangsa Covid-19. Foto Facebook KKM
AGENDANASIONAL

Laksana urusan jenazah Covid-19 secara terhormat, cepat

SHAH ALAM, 16 JULAI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memanggil badan bukan kerajaan (NGO), wakil hospital dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk berbincang serta memutuskan tatacara pengendalian jenazah susulan peningkatan kes kematian Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata antara isu akan dibincangkan termasuk menentukan peranan masing-masing secara teratur selain mewujudkan koordinasi antara pihak-pihak terlibat, lapor portal Kosmo!.

“Saya akan mulakan pertemuan dengan NGO esok (hari ini) bagi memperhalusi senario, isu dan permasalahan dihadapi mereka sebelum disusuli perbincangan seterusnya dengan pihak hospital dan PBT pada Isnin ini.

“Fokus utama kita adalah agar urusan pengurusan pengebumian dapat dilakukan secara tersusun dalam membantu urusan terakhir kepada jenazah secara terhormat, mudah, mengikut syariat serta menjaga sensitiviti semua pihak,” katanya.

Beliau mengulas isu lambakan mayat Covid-19 termasuk di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang sehingga mencetuskan kebim­bangan orang ramai.

Mohd Shahzihan berkata, pihaknya juga diminta untuk melihat kewajaran pengurusan pengebumian jenazah dari Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam dan HTAR secara berjadual.

“Ini merangkumi slot pengebumian mengikut waktu tertentu dalam sehari agar perkara asas termasuk mobilasi, penyeliaan dan penyediaan lubang kubur dapat dibuat awal mengikut jumlah sebenar jenazah yang bakal dikebumikan dalam satu-satu slot,” katanya.


Pengarang :