Selangorkini
Logo Tokyo 2020 dilihat di Pusat Pameran Antarabangsa Tokyo atau Tokyo Big Sight, lokasi bagi pusat penyiaran antarabangsa untuk sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 ketika tinjauan pada 28 Jun 2021. Foto AFP
AGENDA SUKANKINI

Olimpik Tokyo: Pasangan badminton Aaron-Wooi Yik mula langkah kanan

TOKYO, 24 JULAI: Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempamerkan aksi membanggakan dengan semangat juang yang tinggi hari ini apabila mengejutkan beregu nombor tujuh dunia,  Choi Solgyu-Seo Seungjae di Plaza Sukan Musashino Forest, di sini.

Beregu Malaysia yang berada pada ranking kesembilan dunia mengambil masa selama 43 minit untuk menewaskan beregu Korea Selatan itu 24-22, 21-15 dalam perlawanan Kumpulan D bagi memastikan peluang untuk peringkat kalah mati tetap ada.

Juara Sukan SEA 2019 itu bermula dengan baik dan mendominasi set pertama tetapi wakil Korea Selatan itu tidak mudah mengalah dan menyamakan kedudukan pada mata 20-20, sebelum Malaysia menamatkan set pertama  dengan mata 24-22.

Perlawanan kembali sengit pada permulaan set kedua tetapi Aaron-Wooi Yik berjaya mengawal permainan dan mengesahkan kemenangan 21-15 mereka antaranya akibat kesilapan beregu Korea Selatan itu yang pernah tewas tiga kali dengan beregu negara dalam pertemuan sebelum ini,

Terdahulu dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D, beregu nombor dua dunia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia dengan mudah mengalahkan wakil Kanada Jason Ho-Shue-Nyl Yakura 21-12, 21-11 dalam masa 25 minit.

Aaron-Wooi Yik bakal berhadapan tugas berat menentang beregu Indonesia tu Isnin ini sebelum menamatkan perlawanan peringkat kumpulan bertemu wakil Kanada itu sehari kemudian.

Hanya dua beregu teratas dalam kumpulan akan mara ke suku akhir.

— BERNAMA


Pengarang :