Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas meninjau program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak bagi penduduk Kampung Orang Asli Tanjong Sepat, Kuala Langat pada 24 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Individu dapat tarikh vaksin diminta bekerjasama, mudahkan peserta lain sertai Selvax

KUALA LANGAT, 24 JULAI: Individu yang menerima janji temu vaksin selain Program Vaksin Selangor (Selvax) diminta menyalurkan maklumat bagi kemudahan peserta lain menyertai program dikelola Kerajaan Negeri.

Ahli Dewan Negeri (ADN Tanjung Sepat berkata perkara itu boleh dirujuk ke Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing supaya prosesnya berjalan lancar.

“Individu berkaitan diminta bekerjasama bagi memudahkan semua pihak dan pada masa sama beri peluang kepada mereka yang belum (dapat tarikh) untuk sertai Selvax,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau berkata demikian selepas melawat ke Program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak bagi penduduk Kampung Orang Asli Tanjung Sepat di Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli di sini hari ini.

Mengulas berhubung Selvax Komuniti, EXCO Kerajaan Negeri itu berkata pihaknya telah menerima 2,000 pendaftaran dan sedang menyenarai pendek individu yang layak.

“Insya-Allah kita akan laksanakan program tidak lama lagi. Mungkin gabung tiga DUN termasuk Banting dan Morib kerana jarak berhampiran,” katanya.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Maklumat lanjut mengenai Selvax boleh didapati dengan melayari laman web https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600.


Pengarang :