Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni penduduk Flat Taman Samudera Timur, Gombak yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 19 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Penghuni Flat Taman Samudera Timur lari PKPD dikesan, akan disaring segera

SHAH ALAM, 27 JULAI: Beberapa penduduk di Flat Taman Samudera Timur, Gombak yang dikesan melarikan diri sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sudah kembali ke kediaman masing-masing.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia Abdul Rahim Kasdi berkata penghuni tersebut akan diarah menjalani saringan dalam masa terdekat bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19.

“Difahamkan ada beberapa keluarga sudah balik dan mereka memberikan alasan pulang ke rumah ibu bapa tetapi jumlahnya tidak ramai kerana kawasan itu kebanyakan disewa warga asing.

“Jadi, saringan antara isu akan dibangkitkan nanti sebab kita belum sempat adakan perbincangan namun mereka tetap perlu disaring demi keselamatan penghuni lain,” katanya ketika dihubungi Selangorkini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 106 unit rumah di flat berkenaan didapati kosong selepas bancian dijalankan dari rumah ke rumah bagi mendapatkan data bilangan isi rumah.

Bancian ke atas 630 rumah di enam blok yang selesai pada Rabu iaitu hari keempat pelaksanaan PKPD mendapati 523 unit berpenghuni dan lima unit disenarai di bawah simpan dalam perhatian (KIV) berikutan enggan memberi kerjasama.

Flat Taman Samudera Timur dikenakan perintah ketat selama dua minggu mulai 18 hingga 31 Julai selepas 51 kes Covid-19 dikesan hasil saringan terhadap 1,400 penduduk.

Kawasan terbabit antara empat lokaliti di Selangor dikenakan PKPD selain Damai Apartment, PJS 8, mukim Damansara; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang dan Bandar Bukit Tinggi, mukim Klang.

Kelmarin, PKPD di Damai Apartment ditamatkan seminggu lebih awal selepas semua penduduk selesai menerima vaksin mulai 23 Julai.


Pengarang :