Petugas kesihatan sedang mengekstrak sampel dihantar ke pusat itu daripada aktiviti saringan Covid-19 dilakukan pejabat kesihatan daerah bagi mengesahkan status kes wabak, makmal pusat itu mampu memproses sehingga 5,000 sampel sehari di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Shah Alam pada 1 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penyelidik: Vaksin buatan Malaysia berupaya atasi varian bahaya

SHAH ALAM, 5 JULAI: Vaksin buatan Malaysia bersifat komprehensif dan berupaya memberi perlindungan terhadap kemunculan varian baharu.

Pakar Perunding Virologi Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit (IDRC) Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Dr Rozainanee Mohd Zain berkata varian baharu termasuk Delta antara yang dikaji dalam menghasilkan vaksin tempatan.

Pakar Perunding Virologi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr Rozainanee Mohd Zain

“Kami mengkaji virus dari varian baharu daripada bank virus yang diperoleh daripada aktiviti pengesanan tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR) di makmal kami.

“Apabila ada varian baharu, kita boleh sesuaikannya dengan penyelidikan,” katanya dalam wawancara eksklusif kepada Selangorkini baru-baru ini sambil menegaskan vaksin itu sesuai dan selamat untuk semua golongan.

Bagaimanapun, Dr Rozainanee berkata proses penyelidikan termasuk ujian klinikal masih dijalankan manakala vaksin berkanaan dijangka berada di pasaran pada awal tahun 2024.

“Proses menghasilkannya mengambil masa dan prosesnya rumit,” katanya sambil menambah Malaysia sebelum ini tiada pengalaman membuat sebarang vaksin.

Bercadang bekerjasama dengan pengeluar vaksin utama dunia untuk melancarkan proses penyelidikan, beliau berkata penghasilan vaksin di luar negara cepat berikutan faktor pengalaman dan kelengkapan teknologi.

Ketua Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit (IDRC) Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr Norazah Ahmad

Ketua IDRC IMR Dr Norazah Ahmad pula berkata idea menghasilkan vaksin bermula sejak Mac tahun lalu ketika pendemik mula melanda negara, disusuli peruntukan RM3.1 juta yang disalur pada November.

Menjelaskan projek penghasilan vaksin itu terbahagi kepada dua iaitu vaksin ternyahaktif (inacctivated virus vaccine) dan mRNA (messenger ribonucleic acid), beliau berkata penyelidikan Dr Rozainanee dalam kategori ternyahaktif.

Melalui penghasilan vaksin ternyahaktif, sama seperti pelalian Sinovac keluaran China, sistem ketahanan badan menghasilkan imun yang mampu menghalang virus atau kesannya tidak teruk jika dijangkiti Covid-19.

Pada 20 Jun, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata Malaysia sedang membangunkan vaksin sendiri melalui kerjasama IMR dengan Universiti Putra Malaysia (UPM).


Pengarang :