Petugas membantu orang kurang upaya di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Permohonan Selvax DUN Pandamaran fasa dua dibuka Isnin depan

SHAH ALAM, 12 JULAI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran bersetuju membuka semula permohonan program Vaksin Selangor (Selvax) untuk penduduk di kawasan itu bermula 19 hingga 23 Julai ini.

Tony Leong Tuck Chee berkata keputusan dibuat berikutan kuota permohonan masih belum dipenuhi iaitu hanya kira-kira 750 daripada 2,500 yang disasar sudah mendaftar pada fasa pertama dari 5 hingga 9 Julai lalu.

“Kita beri keutamaan kepada pemegang kad Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) dan Peduli Sihat, penjaja makanan basah, penghuni pangsapuri, pesakit kronik, jawatankuasa rumah ibadat selain Islam, pemandu kenderaan awam serta pekerja barang keperluan.

“Selepas permohonan ditutup, kita akan hantar senarai nama pemohon kepada pihak Selvax untuk tindakan selanjutnya dan berharap mereka segera diberi suntikan pelalian,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedia mempertimbang untuk membuka permohonan kepada individu bukan dalam kategori berkaitan terutama yang belum mendapat tarikh janji temu sekiranya ada kekosongan.

“Ini termasuk permohonan mereka yang gagal sebelum ini kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan seperti dikesan baru-baru ini apabila ada antara pemohon membuat lebih 10 permohonan atas satu nama.

“Tetapi apa yang paling penting individu terbabit mesti pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran,” kata Tony lagi.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja di bawah Selvax Industri.

Manakala program percuma Selvax Komuniti memberi manfaat kepada 250,000 rakyat yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.


Pengarang :