Timbalan Pengerusi Tabung Kebajikan Sukan dan Sosial Bahagian E2 Polis Bukit Aman, Superintendan Hisham Mohd Den (dua, kanan) bersama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Ahmad Azri Zainal Nor (kanan) menyampaikan bakul makanan kepada penduduk di Pangsapuri Ghazal, Taman Impian, Balakong pada 19 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Persatuan kebajikan polis sedia kerjasama dengan MBI laksana program bantuan

HULU LANGAT, 20 JULAI: Persatuan Tabung Kebajikan, Sukan dan Sosial Cawangan Khas Polis Bukit Aman berhasrat bekerjasama dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dalam menjayakan lebih banyak program bantuan kepada rakyat terkesan Covid-19.

Timbalan Pengerusinya Superintendan Hisham Mohd Den berkata kemahuan itu mengambil kira faktor jaringan bersama ketua komuniti yang peka terhadap keperluan penduduk di sesebuah kawasan.

“Kita sedia bila-bila masa sekiranya MBI berbesar hati beri sumbangan. Hubungan baik dengan ketua komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) sentiasa dijalin dan mereka biasanya memiliki senarai penduduk susah.

“Kita simpati terhadap nasib penduduk khususnya di pangsapuri kos rendah dan projek perumahan rakyat (PPR). Mereka ini golongan berpendapatan rendah (B40) yang memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis serahan pek makanan asas kepada 50 keluarga di Pangsapuri Ghazal, Balakong di sini semalam bersama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

Hisham berkata seramai 200 keluarga sekitar Puchong, Rawang, Gombak dan Cheras mendapat bantuan makanan sejak inisiatif bersama MBI dilaksana minggu lalu.

“Rata-rata penduduk amat terkesan dan melihat riak wajah, mereka sangat menghargai sumbangan ini,” katanya.


Pengarang :