Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Murni, Sungai Pelek, Sepang. Foto Jabatan Penerangan Negeri Selangor
AGENSISELANGOR

PKPD: 69 penduduk Taman Murni Sepang positif Covid-19

SHAH ALAM, 4 JULAI: Sebanyak 69 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan penduduk Taman Murni, Sepang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak Rabu.

Pegawai Daerah Sepang Mohamad Zain A Hamid berkata jumlah itu diperoleh hasil saringan ke atas separuh penduduk membabitkan 707 individu.

“Keputusan 747 penduduk lagi masih belum diperoleh. Kita jangkakan keputusan diterima dalam masa terdekat.

“Seterusnya penduduk disahkan negatif akan diberikan vaksin bagi mengekang penularan wabak. Jumlah keseluruhan yang akan divaksin belum diperoleh,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Zain mengalu-alukan bantuan makanan kering untuk disumbang kepada penduduk memandangkan mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan perumahan.

“Setakat ini penduduk tidak berdepan masalah makanan cuma kita alu-alukan jika ada yang mahu beri sumbangan,” katanya.

Penduduk Taman Murni dikenakan PKPD selama 14 hari sejak 30 Jun selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 36 kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.

Pelaksanaan PKPD ini memudahkan aktiviti saringan kontak, pengasingan bagi kes dan kontak rapat serta menyekat pergerakan keluar masuk orang ramai dari kawasan terbabit.


Pengarang :