Remaja bawah umur yang ditahan selepas terlibat dalam perlumbaan haram di Jalan Sultan Alaiddin, Bandar Sultan Suleiman, Klang pada 3 Julai 2021. Foto ihsan IPD Klang Utara
AGENSISELANGOR

PKPD: Tujuh remaja bawah umur antara ditahan lumba haram

KAPAR, 4 JUL: Seramai 31 individu termasuk tujuh remaja bawah umur yang terlibat dalam aktiviti lumba haram ditahan di Jalan Sultan Alaiddin, Bandar Sultan Suleiman semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata semua yang ditahan berusia antara 13 hingga 26 tahun dalam Op Khas Motosikal mulai 5.30 petang.

“Mereka termasuk remaja perempuan berusia 16 tahun hanya berlumba secara suka-suka tanpa melibatkan wang pertaruhan. Sekadar membuang masa.

“Ada yang cuba melarikan diri ketika diserbu tetapi tidak berjaya kerana polis mengepung kawasan terbabit lebih awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi itu dijalankan bagi memantau pematuhan orang ramai terhadap tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam.

Nurulhuda berkata sebanyak 76 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas turut dikeluarkan selain 20 motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, katanya, seramai 22 orang dikompaun RM1,500 kerana melanggar SOP iaitu berkumpul di tempat awam dan keluar tanpa hala tuju.


Pengarang :