Kementerian Kesihatan menyediakan sebuah lagi pusat kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) pada 18 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis tahan penganggur cuba seludup rokok ke pusat kuarantin MAEPS

SEPANG, 8 JULAI: Polis menahan seorang lelaki yang didapati cuba menyeludup masuk 10 kotak rokok ke dalam Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hujung minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2 petang apabila penganggur berumur 33 tahun yang juga pesakit di PKRC itu dilihat melemparkan satu bungkusan hitam berhampiran Hall A, sebelum memasuki kawasan berkenaan dengan memakai pakaian seperti pekerja kontrak.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, polis yang membuat pemeriksaan sekitar lori TNB berhampiran dengan dewan itu menemukan 10 kotak rokok jenis Luffman, dibungkus dalam satu bungkusan hitam.

“Pemeriksaan lanjut terhadap lelaki berkenaan turut membawa kepada penemuan satu bungkusan yang dipercayai air ketum dianggarkan 500 mililiter di dalam begnya,” katanya kepada media di sini hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata lelaki itu telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

-BERNAMA


Pengarang :