Kemudahan yang terdapat di pusat terapi kanak-kanak berkeperluan khas Akademi Headstart berlokasi di pusat beli-belah SACC, Shah Alam. Imej dirakamkan pada 14 April 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selangor prihatin anak OKU bantu dari peringkat awal

SHAH ALAM, 17 JULAI: Selangor satu-satunya negeri yang dilihat lebih menitikberatkan kebajikan dan keperluan anak orang kelainan upaya (OKU).

Ketua penolong pengarah sektor pendidikan khas Jabatan Pendidikan Selangor berkata susulan itu ibu bapa atau keluarga mempunyai anak istimewa tidak perlu bimbang berhubung masa hadapan anak masing-masing.

“Di Selangor ini kalau tak dapat hantar di 3PK (Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas), boleh bawa anak ke Pusat AnIS (Anak Istimewa Selangor) untuk belajar.

“Pembelajaran awal ini sangat penting kerana dapat meningkatkan keupayaan anak OKU. Setakat ini Selangor yang ke arah itu,” kata Nor Hasnizam Parman.

Beliau berkata demikian dalam program Seminar Keibubapaan bertajuk Perkembangan AnIS di sekolah: Apa kata JPN Selangor? yang disiarkan di Facebook pagi tadi.

Sementara itu, Pengerusi Majlis AnIS Prof Madya Dr Hasnah Toran moderator menjelaskan pusat terbabit memberi tumpuan pembelajaran anak OKU berusia enam tahun ke bawah.

“Pusat tersebut sudah dibuka tetapi ketika ini tidak boleh terima pelajar disebabkan pandemik Covid-19. Kakitangan dan petugas juga sudah ada bagi membentuk golongan ini,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan pembangunan negeri tidak akan meminggirkan golongan istimewa dari semua aspek termasuk kesihatan, pendidikan, undang-undang, peluang kerjaya dan kemudahan infra yang selesa.


Pengarang :