Pasukan pengurusan jenazah lengkap berpakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE) menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Taman Selatan di Presint 20 Putrajaya pada 3 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tanah perkuburan Cyberjaya jadi lokasi pengebumian jenazah pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 30 JULAI: Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi’ di Cyberjaya akan dijadikan sebagai salah satu lokasi pengebumian jenazah Covid-19 dari Hospital Serdang.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dato’ Abd Hamid Hussain berkata perkara itu diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika lawatan rasminya ke Hospital Serdang baru-baru ini.

“Perkhidmatan pengurusan yang disediakan di tanah perkuburan ini adalah menerima permohonan pengebumian, pengurusan jenazah, pengawasan dan penyelenggaraan tanah perkuburan.

“Waktu operasi pengebumian pula bermula dari 8 pagi hingga 6 petang setiap hari. Pengebumian di luar waktu operasi hanya dijalankan berdasarkan kes tertentu dengan kebenaran pihak pengurusan MPSepang,” katanya melalui perutusan Mesyuarat Ahli Majlis MPSepang Bil 7/2021 hari ini.

Beliau juga berharap tanah perkuburan di bawah Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat itu dapat mengurangkan masa pengurusan mayat selain mengelak kesesakan di Jabatan Forensik di Hospital Serdang.

“Tanah perkuburan seluas 4.67 ekar dengan sembilan zon mampu memuatkan lebih 1,500 unit kubur termasuk untuk dewasa, kanak-kanak dan kubur anggota badan,” katanya.

Pada 17 Julai, Kerajaan Selangor bersetuju Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Klang dijadikan tempat khusus pengurusan jenazah Covid-19 bagi mengatasi kesesakan bilik mayat sedia ada.

Selain itu, tanah perkuburan bagi jenazah mangsa Covid-19 beragama Islam adalah di Tanah Perkuburan Seksyen 21 dan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang.

Manakala jenazah mangsa bukan Islam pula akan dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan pengebumian dan urusan krematorium bersesuaian.


Pengarang :