Pengguna Bas Smart Selangor mengimbas kod QR aplikasi CEPat serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak sebelum menaiki pengangkutan awam itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, Shah Alam pada 1 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Ubah laluan, Bas Smart Selangor mudahkan orang ramai ke PPV

SHAH ALAM, 3 JULAI: Laluan Bas Smart Selangor diubah ke kawasan pusat pemberian vaksin (PPV) bagi kemudahan orang ramai mengambil suntikan.

EXCO pengangkutan berkata setakat ini 11 laluan dipinda melibatkan pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Daerah Kuala Selangor.

Menurut Ng Sze Han laluan berkenaan bersifat sementara waktu sehingga pengoperasian PPV tamat.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama operator bas juga sedang kenal pasti laluan lain yang boleh dilencongkan supaya memudahkan rakyat ke PPV mengikut tarikh janji temu.

“Inisiatif ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kapasiti penerima vaksin di Selangor seterusnya mencapai sasaran imuniti kelompok,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Januari lalu, Kerajaan Selangor menggerakkan Bas Smart Selangor untuk membawa pesakit Covid-19 dari rumah ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Serdang yang antara lain bagi mengurangkan beban petugas hadapan.


Pengarang :