Pengurus Operasi Bahagian Kebajikan dan Publisiti Yide Md Arifin Jaafar menyerahkan bantuan wang tunai kepada salah seorang anak yatim di Kampung Sungai Raya, Batu 9, Cheras pada 7 Julai 2021. Foto Facebook Yide
AGENSISELANGOR

Yide bantu ringan beban tiga beradik yatim piatu

SHAH ALAM, 8 JULAI: Nasib tiga beradik yatim piatu di Kampung Sungai Raya, Batu 9, Cheras mendapat perhatian Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) yang tampil menghulurkan bantuan semalam.

Yayasan berkenaan menyumbang pek makanan beras, minyak masak, susu, mi segera, teh uncang, gula dan susu pekat termasuk wang tunai kepada mereka serta penjaga.

Pengurus Besarnya Nur Mohd Razali Abdullah berkata sumbangan disalur selepas mendapat maklumat daripada ketua penolong amil fitrah Masjid Ubudiah Sungai Raya berhubung kesusahan dialami tiga beradik itu.

“Inisiatif ini salah satu pelan strategik Yide bersama sahabat prihatin yang bertindak sebagai mata serta telinga dalam mengenal pasti anak yatim di seluruh negeri yang mengalami musibah,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Beliau menambah Masjid Ubudiah Batu 9, Cheras juga menerima 150 pek makanan membabitkan peruntukan berjumlah RM7,500 untuk diagih kepada ahli kariah yang terjejas pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

“Yide berterima kasih kepada mereka yang menyalurkan sumbangan kepada kami melalui tabung dana musibah bagi membantu golongan terkesan,” kata Nur Mohd Razali.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh terus ke platform digital https://yide.com.my/donations/infaq-dana-musibah/ atau pindahan dalam talian melalui Bank Islam Yide (12234010007330).

 


Pengarang :