Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Dewan Serbaguna MPAJ AU5, Ampang pada 22 Ogos 2021. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

1,182 warga Lembah Jaya, Bukit Antarabangsa lengkap dua dos

AMPANG, 22 OGOS: Seramai 1,182 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya dan Bukit Antarabangsa lengkap dos vaksin setakat semalam.

Suntikan melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti turut melibatkan individu tanpa janji temu di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Serbaguna MPAJ AU5.

Penyelaras PPV berkenaan Ashikin Jazlan berkata pihaknya menjangkakan lebih 2,000 peserta lagi bakal disuntik hari ini sehingga jam 5 petang.

“Suntikan dos pertama selesai tiga minggu lalu dan untuk dos kedua, PPV ini beroperasi selama dua hari bermula semalam dengan kekuatan seorang pegawai perubatan, lima vaksinator serta 35 sukarelawan,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, beliau berkata kurang 10 peratus individu tidak hadir mengikut tarikh janji temu berikutan dijangkiti Covid-19 atau menjadi kontak rapat.

“Mereka ini telah menerima dos pertama tetapi malangnya terkena jangkitan atau kontak rapat kepada pesakit, maka individu terbabit perlu menjalani kuarantin.

“Kebetulan berlaku pertindihan tarikh kuarantin dan janji temu dos kedua, jadi mereka akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas untuk ke klinik selepas tamat tempoh tersebut,” katanya.

Selangor menyediakan sebanyak 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Usaha itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.


Pengarang :