PBTSELANGOR

Taman awam di Shah Alam dibuka untuk individu lengkap vaksin

SHAH ALAM, 22 OGOS: Semua taman awam di bandar raya ini dibuka mulai hari ini untuk orang ramai yang telah lengkap menerima vaksin Covid-19.

Majlis Bandraya Shah Alam (MBSA) menerusi Facebook memaklumkan bagaimanapun mereka hanya boleh mengunjungi kawasan dibuka mulai 6 pagi hingga 8 malam untuk tujuan bersukan, rekreasi dan riadah mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Berikut adalah SOP bagi aktiviti dinyatakan:
– Mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter di kawasan terbuka termasuk secara separa terbuka
– Aktiviti jogging, senaman, berbasikal, taichi dan semua aktiviti sukan kendiri tanpa bersentuhan fizikal serta bukan berkumpulan dibenarkan
– Penggunaan alatan mainan kanak-kanak, alatan senaman gim luar (outdoor gym) tidak dibenarkan
– Berkelah, berkhemah dan berkumpul tidak dibenarkan
– Menjamu selera (dine-in) di kafe dibenarkan dengan SOP yang ketat
– Taman Persahabatan Selangor-Jepun, Musical Fountain, Flying Fox dan Jambatan Gantung Kanopi di Taman Tasik Shah Alam ditutup
– Kehadiran pengunjung hanya di dalam radius 10 kilometer dari kediaman dan jumlah pengunjung 50 peratus berdasarkan keluasan taman rekreasi

MBSA juga menghuraikan maksud telah melengkapkan pengambilan vaksin sebagai:
1. Dua dos suntikan – Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac selepas hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua
2. Satu dos suntikan – Johnson & Johnson dan CanSino selepas hari ke-28 dari tarikh suntikan

Sebelum ini, kerajaan menetapkan semua taman awam ditutup untuk sebarang aktiviti ketika melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 bermula 1 Jun lalu.

 

 


Pengarang :