Selangorkini
Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Ke-14 di Parlimen pada 26 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Ahli parlimen diarah namakan calon PM kepada Agong

SHAH ALAM, 17 OGOS: Yang Dipertua Dewan Rakyat mengarahkan semua ahli parlimen menamakan calon perdana menteri baharu secara bertulis kepada Yang di-Pertuan Agong selewat-lewatnya jam 4 petang esok.

“Pada melaksanakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat supaya menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Yang Berhormat untuk menjadi perdana menteri yang kesembilan,” notis Datuk Azhar Azizan Harun dipetik.

Notis beliau bertarikh 17 Ogos yang diedarkan kepada semua ahli parlimen tersebar di media sosial. Selangorkini mengesahkan kandungan surat tersebut dengan wakil rakyat.

Seseorang ahli Dewan Rakyat hanya dibenar memilih seorang calon untuk diserah kepada Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim, setiausaha sulit kanan kepada Baginda, melalui e-mel, faksimili atau aplikasi WhatsApp.

Semua ahli parlimen diarah menjaga kerahsiaan kandungan surat akuan tersebut sehingga Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan berdasarkan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan iaitu melantik seorang wakil rakyat yang pada hemat Baginda mempunyai sokongan majoriti.

“Ahli-ahli Yang Berhormat diperingatkan untuk menjaga kerahsiaan surat akuan tersebut sehingga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan mengenai perkara (tersebut),” kata Azhar dalam notis itu.

Menurut dokumen tersebut, beliau memaklumkan mana-mana surat akuan yang tidak mematuhi syarat tidak akan diambil kira, termasuk tidak boleh diserahkan dengan tangan.

Syarat-syarat lain antaranya pengenalan diri wakil rakyat yang jelas, penyataan sokongan yang cukup terang, tandatangan, tarikh dan cop rasmi pengamal undang-undang.

 


Pengarang :