Sukarelawan Selvax mengibarkan Jalur Gemilang sambil memakai pakaian tradisional Malaysia sempena Hari Kebangsaan yang ke – 64 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De Palma, Shah Alam pada 31 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anak Aziz Desa bangga pakai baju tradisional bertugas di PPV

SHAH ALAM, 31 OGOS: Anak pengacara dan personaliti televisyen terkenal, Allahyarham Aziz Desa bangga diberi peluang mengenakan busana tradisional ketika bertugas sebagai sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV) sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64.

Segak dan kemas berbaju Melayu hitam lengkap dengan samping bersulam benang emas, Mas Zhiddin Zhiddan menyifatkan penampilan itu sebagai cara menzahirkan rasa cinta terhadap negara.

Pemuda berusia 19 tahun itu berkata semangat patriotik membara dalam diri apabila menggayakan pakaian yang menjadi identiti masyarakat Melayu di hadapan khalayak.

Sukarelawan selvax, Mas Zhiddin Zhiddanmemakai pakaian tradisional Malaysia sempena Hari Kebangsaan yang ke – 64 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De Palma, Shah Alam pada 31 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Hari ini adalah kali pertama saya berkesempatan memakai baju Melayu sejak bertugas sebagai sukarelawan Julai lalu memandangkan sebelum ini sekadar pakaian kasual.

“Saya rasa cukup teruja, seperti betul-betul merdeka sebab kita (sukarelawan) bebas memakai pakaian tradisi rakyat pelbagai kaum di negara ini sama ada Melayu, Cina atau India,” katanya ketika ditemui di PPV Hotel De Palma, Seksyen 19 di sini.

Penuntut tahun pertama Diploma Penulisan Kreatif dan Filem di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berkata program vaksinasi yang giat dijalankan ketika ini membuktikan kerajaan serius ‘memerdekakan’ negara daripada ancaman wabak.

Mas mengakui, minda rakyat juga semakin terbuka menerima suntikan pelalian bagi mengurangkan risiko penularan virus.

“Mereka yang enggan ambil vaksin mungkin ada pendirian tersendiri tetapi saya merasakan bahawa mereka (antivaksin) belum cukup merdeka walaupun dari segi fakta, vaksin bagus untuk kita memutuskan rantaian virus.

“Sempena sambutan kemerdekaan tahun ini yang diraikan dalam suasana pandemik, saya berharap rakyat Malaysia bersatu-padu dan bekerjasama supaya program vaksinasi mampu diselesaikan,” katanya.

Bercerita lanjut, anak bongsu daripada enam beradik berkata dia menyertai aktiviti tersebut bagi mengisi masa terluang sementara sedang cuti semester selain menimba pengalaman baharu.

Petugas kesihatan selvax, memberi suntikan pelalian Covid – 19 kepada penerima dos kedua vaksin dengan memakai pakaian tradisional Malaysia sempena Hari Kebangsaan yang ke – 64 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De Palma, Shah Alam pada 31 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ditempatkan di ruang pemerhatian PPV, Mas mengakui seronok dapat menyumbang khidmat kepada masyarakat apatah lagi dirinya gemar berinteraksi dengan orang ramai.

“Banyak pengalaman dilalui antaranya dapat berjumpa kenalan baharu, melihat ragam dan menolong peserta vaksin namun ada juga kenangan pahit apabila pernah beberapa kali ditengking orang ramai disebabkan berlaku kesesakan,” katanya.

Allahyarham Aziz Desa atau nama lengkapnya Abdul Aziz Desa meninggal dunia pada 27 Disember 2015 akibat komplikasi buah pinggang kronik, kencing manis dan jantung.

Hasil perkahwinan bersama Raden Norazlina Raden Jumari, pasangan terbabit dikurniakan enam cahaya mata Mas Zharif Zhafri, Mas Zahiah Zafirah, Mas Zhafir Zhikri, Mas Zhamir Zhakwan, Mas Zhaeim Zhiddin dan Mas Zhiddin Zhiddan.


Pengarang :