Atlet futsal Selangor Helmy Faizaddin Zainuddin disuntik vaksin Covid-19 dalam program Vaksinasi Atlet dan Pengusaha Industri Sukan Selangor di Hotel De Palma Shah Alam pada 10 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Kerajaan diminta pertimbang vaksin pelumba sukan permotoran bawah 18 tahun

SHAH ALAM, 11 OGOS: Kerajaan digesa mempertimbangkan untuk memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada pelumba sukan permotoran berusia 18 tahun ke bawah.

Pengarah Kejohanan Petronas Malaysia Cub Prix Ron Hogg berkata kebenaran memberikan suntikan pelalian kepada pelumba Cub Prix membolehkan mereka menjalani latihan apabila industri tersebut dibuka kelak.

Pengarah Kejohanan Petronas Malaysia Cub Prix Ron Hogg. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita berharap kerajaan percepat satu solusi supaya pelumba berusia 13 hingga 18 tahun dapat divaksin untuk menjaga keselamatan daripada dijangkiti Covid-19.

“Selain itu ia satu keperluan untuk mereka menyertai perlumbaan ke luar negara,” katanya ketika ditemui pada program vaksinasi atlet dan pengusaha industri sukan Selangor di Hotel De Palma, Seksyen 19 di sini semalam.

Pengurus Glenmarie Golf & Country Club (GGCC) Shah Alam berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan Negeri kerana menganjurkan program berkaitan kerana ia membantu pengusaha sukan di negeri itu bersedia untuk beroperasi dalam industri sukan apabila dibuka.

Pengurus Kelab Glenmarie Golf & Country Club, Nor Afendi Mohd Razlan. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Lebih 100 ahli hadir untuk menerima vaksin menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) dan mereka semua masih belum menerima janji temu,” kata Nor Afendi Mohd Razlan.

Atlet futsal Helmy Faizaddin Zainuddin, 29, berkata beliau mendapat janji temu pada Julai lalu tetapi terpaksa menolaknya kerana berada luar kawasan.

“Sejak itu saya tidak memperoleh janji temu dan bersyukur apabila mengetahui terdapat program seperti ini kerana secara peribadi setiap atlet perlu disuntik vaksin bagi memastikan prestasi tidak terjejas jika dijangkiti Covid-19,” katanya.


Pengarang :