Atlet renang paralimpik negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli beraksi pada acara lelaki 100m kuak dada pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo pada 29 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Kesilapan teknikal: Perenang para kebangsaan hampa lagi

TOKYO, 29 OGOS: Perenang para kebangsaan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli terus hampa apabila penyertaannya terbatal lagi, kali ini dalam acara 100 meter (m) kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik Tokyo hari ini.

Nur Syaiful yang menamatkan saingan di tempat ketiga dalam saringan pertama di Pusat Akuatik Tokyo di sini, terpaksa menerima hakikat pembatalan itu menjadi titik noktah terhadap perjuangannya untuk ke peringkat akhir dalam acara itu, petang ini.

Pengarah Bahagian Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Sofian Hamzah mengesahkan perenang berusia 26 tahun itu dibatalkan penyertaannya berikutan satu lagi kesilapan teknikal ketika berenang.

“Kepala Nur Syaiful didapati tidak naik ke permukaan air dalam jarak 15 meter awal, sewaktu membuat kuakan,” katanya kepada Bernama.

Perenang dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia Dmitrii Cherniaev memenangi saringan itu dengan mencatat 1 minit 33.42 saat (s), diikuti rakan senegaranya Aleksandr Molkov (1:44.37s) dan ketiga pula milik Francesco Bocciardo dari Itali (1:51.11s).

Hanya lapan perenang terbaik daripada dua saringan dijalankan mara ke peringkat akhir.

Rabu lepas, Nur Syaiful turut mengalami nasib serupa apabila penyertaannya dalam saringan pertama acara 200m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) dibatalkan gara-gara isu teknikal, selepas didapati menampal pita pelekat di bahu kirinya bagi mengurangkan kesakitan dialami sejak seminggu lalu.

Namun, Nur Syaiful pada Khamis lepas berjaya memecah rekod peribadi 100m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) dalam peringkat akhir dengan mencatat masa 1:15.12s, sekali gus memadam catatan peribadi terdahulu iaitu 1:15.39 di London, United Kingdom pada 2019.

Nur Syaiful, yang mengalami kecacatan kedua-dua kakinya selepas terlibat dalam kemalangan pada usia 17 tahun, masih mempunyai satu lagi peluang bagi membuktikan dirinya, apabila dijadual turun semula ke kolam air dalam acara 50m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) Rabu ini.

-BERNAMA


Pengarang :