Petugas kesihatan menguruskan jenazah yang meninggal akibat wabak Covid-19 ketika tinjauan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam pada 9 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Langkah Jais urus jenazah pesakit Covid-19 selaras keputusan negeri

SHAH ALAM, 5 OGOS: Langkah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menetapkan semula pelaksanaan pengurusan jenazah pesakit Covid-19 adalah selaras dengan keputusan Kerajaan Negeri.

EXCO Agama Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata tindakan jabatan itu perlu dihormati dan dipatuhi semua pihak sebagai langkah kerajaan dalam menghadapi peningkatan kematian akibat wabak.

“Tindakan Jais membuat beberapa ketetapan semula dalam mengurus kematian akibat Covid-19 di Selangor juga selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 14 Julai.

“Jais melaksanakan pengurusan kematian berkuat kuasa pada 28 Julai lalu,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Zawawi menjelaskan jabatan itu juga berperanan mengetuai dan menyelaras tindakan bersama agensi lain dan pihak berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dan praktikal.

Pada 2 Ogos lalu, Jais menetapkan tiada bayaran dikenakan kepada keluarga atau waris jenazah Covid-19 yang diuruskan pihaknya.

Pengarah Dato’ Shahzihan Ahmad berkata bayaran hanya dikenakan pengurusan tanah perkuburan meliputi kos membuat keranda jika perlu dan pembayaran dibuat terus keluarga atau waris.

Selain itu, Jais turut mengambil keputusan untuk meneliti, menilai dan menstruktur semula peranan serta penglibatan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGOi) dalam mengurus jenazah Covid-19.


Pengarang :