Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Subang Jaya di pusat pemberian vaksin (PPV) Hotel De Palma, Shah Alam pada 19 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: 98 peratus penduduk Selangor terima dos pertama

SHAH ALAM, 19 OGOS: Sebanyak 98 peratus penduduk negeri ini menerima dos pertama vaksin setakat pertengahan Ogos menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan Vaksin Selangor (Selvax).

Dengan peratusan terbaharu itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yakin Selangor bakal beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang September.

“Setelah dikemas kini angka tersebut dari Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19, kita dapati pemberian vaksin dos pertama di negeri ini mencecah 98 peratus. Kita yakin menjelang September, Selangor boleh ke fasa dua,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor menyasarkan 80 peratus penduduk dewasa negeri ini menerima vaksin menjelang Oktober, 100 hari lebih awal daripada jadual.

Setakat pertengahan Ogos juga, lebih separuh penduduk Selangor lengkap dua dos hasil kerancakan program suntikan negeri dan persekutuan.

Sementara itu, Amirudin berkata jumlah pesakit Covid-19 yang kritikal semakin menurun berdasarkan laporan Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Hospital Sungai Buloh.

“Kemasukan pesakit Covid-19 dalam lingkungan usia 40 ke 60 tahun atau kumpulan komorbiditi ada penurunan yang amat signifikan. Kita jangka jika dapat tingkatkan (vaksinasi) ia dapat membantu melengkapkan imuniti kelompok,” katanya.

Selvax dilancarkan pada hujung Jun dengan peruntukan RM200 juta membabitkan dua juta dos kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 penduduk yang belum divaksin terutama warga emas, golongan berpendapatan rendah dan penerima skim Inisiatif Peduli Rakyat.

Mulai 16 Ogos, kerajaan membenarkan semula 11 aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran bagi semua negeri fasa satu yang mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus suntikan dua dos.

Justeru, Selangor yang berada dalam fasa satu PPN bersama Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Kedah berpeluang menikmati pembukaan beberapa kegiatan ekonomi.


Pengarang :