Dr Siti Mariah Mahmud menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex pada 26 Ogos 2021. Foto NAZIR KHAIRI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri terima 191 laporan keganasan rumah tangga sejak Januari

SHAH ALAM, 26 OGOS: Sebanyak 191 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di negeri ini sejak Januari hingga Mei lalu, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata berdasarkan kes yang didaftarkan untuk diberi bimbangan, Petaling merekodkan jumlah tertinggi dengan 69 kes.

Katanya, ia diikuti Hulu Langat dengan 38 kes, Gombak (28), Klang (16), Sepang (15), Kuala Langat (14), Kuala Selangor (enam), Hulu Selangor (tiga) dan Sabak Bernam (dua).

“Bidang kuasa Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) tidak seperti polis dan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dalam menangani kes penderaan.

“Jais hanya berbidang kuasa dalam perkahwinan dan hak-hak kepada pasangan suami isteri dan anak-anak sahaja,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau mewakili EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni bagi menjawab soalan wakil rakyat Lembah Jaya mengenai kes penderaan dan mental.

Siti Mariah juga memaklumkan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam sedang menggerakan fungsi pusat islamik Jais prihatin di setiap daerah.

Beliau berkata pusat tersebut berperanan sebagai penyelaras atau koordinator khidmat nasihat bimbingan dan bimbing secara percuma kepada masyarakat.

“Peranan pusat ini termasuk dalam hal menerima panggilan berkaitan penderaan mental dan fizikal serta merujuk kes kepada pihak yang berbidang kuasa seperti JKM dan polis jika perlu,” katanya.

 


Pengarang :