Dato’ Arjunaidi Mohamad (kanan) pada sidang media mengenai kejayaan rampasan dadah dan menumpaskan dua makmal dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 14 Julai 2020. Foto BERNAMA
SELANGOR

Polis Selangor tumpas dua sindiket edar dadah, tahan 17 individu

SHAH ALAM, 17 OGOS: Polis Selangor menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah disyaki jenis methamphetamine dengan penahanan 17 individu termasuk tiga wanita di sekitar Gombak dan Ampang, dekat sini serta Pulau Pinang, awal bulan ini.

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata methamphetamine yang dirampas hasil penahanan kesemua individu berusia 26 hingga 65 tahun itu bernilai RM3.89 juta dengan berat keseluruhan 108.09 kilogram (kg).

Beliau berkata pada 3 petang, 6 Ogos lepas, pihaknya menahan tiga lelaki dalam serbuan di kawasan perumahan di sekitar Batu Caves sekali gus merampas 97 bungkusan hijau berisi dadah disyaki methamphetamine dianggar seberat 100.74 kg.

“Kita turut menahan empat lagi lelaki di empat lokasi lain di sekitar Gombak, Selayang dan Cheras untuk tindakan lanjut dan polis turut menyita aset mereka antaranya wang tunai RM114,750, empat akaun berjumlah RM93,670 dan empat kenderaan dengan nilai sitaan bagi kumpulan ini sebanyak RM448,420,” katanya menerusi sidang media secara dalam talian hari ini.

Arjunaidi berkata pada 8 Ogos pula, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan dua lelaki dan dua wanita pada 11.15 pagi susulan penahanan dua kenderaan di lot parkir kereta di sebuah pasar raya di Ampang.

“Hasil pemeriksaan merampas tujuh bungkusan plastik berwarna hijau mengandungi methamphetamine seberat 7.35 kg dan susulan itu lima lelaki dan seorang wanita turut ditahan di enam lagi lokasi berlainan sekitar Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut Arjunaidi, antara aset yang disita daripada kesemua individu itu adalah tujuh kenderaan berjenama bernilai RM495,000, barang kemas bernilai RM37,570 dan wang dalam 20 akaun berjumlah RM346,180 dengan nilai sitaan keseluruhan sebanyak RM976,720.

Beliau berkata kesemua individu itu sedang direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengenai kejadian seorang lelaki maut ditembak ketika memandu kereta mewah Range Rover di Jalan BRP 2/1, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, semalam, Arjunaidi berkata didapati mangsa memiliki enam rekod jenayah.

Menurutnya semakan mendapati antara rekod jenayah itu adalah berkaitan samun dan ugutan jenayah dan pihaknya masih menyiasat penglibatan mangsa dalam mana-mana aktiviti yang berkemungkinan menyebabkan berlakunya insiden itu.

“Rekod ‘wanted’ (dikehendaki polis) ada, kita cari dia (mangsa tembak) sebelum ini, sekarang tidak ada,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, suspek telah melepaskan empat das tembakan semasa mangsa yang berusia 42 tahun melalui jalan tersebut.

Sementara itu, Arjunaidi berkata seramai 59 anggota polis kontinjen Selangor ditahan kerja manakala seramai 16 anggota digantung kerja sejak 2017 hingga tahun lepas susulan penyalahgunaan dadah.

“Kita memandang serius isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pegawai dan anggota dan mengambil tindakan tegas atas semua salah laku,” katanya mengulas kes seorang ketua balai polis yang terbabit parti liar di sebuah balai di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan turut positif dadah serta telah diambil tindakan tahan kerja.

Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata pihaknya telah mengemukakan kertas siasatan kes itu kepada pihak pendakwa raya.

– BERNAMA


Pengarang :