Sukarelawan memeriksa aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) orang ramai yang hadir menerima suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MPAJ Pandan Indah, Ampang pada 1 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

SELangkah berkesan, wajar diguna seluruh negara kekang Covid-19

SHAH ALAM, 4 OGOS: Aplikasi Langkah Masuk dengan Selamat (SELangkah) dibangunkan Kerajaan Selangor wajar digunakan di seluruh negara berikutan keberkesanannya menjejak kontak Covid-19.

Pakar perunding pediatrik Hospital Pakar Damansara berkata aplikasi melibatkan kecerdasan buatan (AI) selain kaedah FTTIS iaitu kenal pasti (finding), pengujian (testing), pengesanan (tracing), kuarantin (isolation) dan sokongan (support) serta mempertingkat vaksinasi dapat mengekang penularan wabak.

“Kita kena guna penyelesaian digital semasa. Ini zaman IR 4.0 (Revolusi Industri), tak kan nak suruh pegawai kesihatan membuat panggilan lebih 400 rumah untuk kesan kontak rapat?

“Kita guna MySejahtera tapi aplikasi tak efektif nak kesan kontak, tak seperti SELangkah. Bila gunakannya terus boleh hentikan kes sporadik, kluster serta perebakan virus,” kata Datuk Dr Musa Nordin dalam program Solusi Selamatkan Malaysia.

Program secara langsung di Facebook Reset Malaysia itu turut menampilkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz.

Sebelum ini, Dr Musa mendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia hanya melakukan pengesanan kontak dengan kaedah manual kerana sistem MySejahtera tidak secanggih SELangkah.

Pada Mei tahun lalu, SELangkah diperkenalkan bertujuan memudahkan pemantauan orang awam sepanjang pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Pengarang :