BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor lancar program penjagaan kesihatan mental pada 30 Ogos

SHAH ALAM, 15 OGOS: Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) bakal dilancar oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada 30 Ogos ini.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata program itu bertujuan membantu penduduk Selangor meluahkan tekanan mental yang dihadapi terutama dalam mendepani pandemik Covid-19.

“Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak RM500,000 bagi melaksanakan program ini demi meningkatkan kesedaran rakyat kepentingan menjaga kesihatan mental ketika musim wabak ini.

“Fungsi SEHAT nanti boleh diakses melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan daripada situ ada talian untuk pengguna berbual dengan pakar kaunselor tanpa berjumpa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Pra Pelancaran SEHAT Selangor di Facebook Kita Selangor, semalam.

Dr Siti Mariah berkata pengguna juga akan diberi penglibatan awal mengenai kaedah untuk menangani penyakit mental menerusi paparan video psikologi.

Program itu turut mendapat kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Sains Malaysia dan Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (Miasa).


Pengarang :