Rakaman gambar proses pembotolan vaksin CanSino di Solution Biologics Sdn Bhd di Taman Teknologi Bukit Jalil pada 30 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Vaksin CanSino, Sinovac untuk enam negeri dengan kadar suntikan bawah 50 peratus

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Vaksin dos tunggal CanSino dan Sinovac akan digunakan bagi meningkatkan vaksinasi di enam negeri yang masih mempunyai kadar vaksinasi populasi dewasa lengkap kurang daripada 50 peratus.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datuk Seri Dr Adham Baba berkata Malaysia membeli 3.5 juta dos vaksin CanSino dengan kumpulan pertama 200,000 dos berkenaan telah diterima dan diedar ke negeri-negeri yang kadar vaksinasi rendah.

Katanya 300,000 dos CanSino akan diterima bulan depan bagi mempercepatkan proses mencapai imuniti kelompok.

“Vaksin CanSino ini boleh digunakan untuk kawasan yang sukar diakses, tempat terpencil dan bagi penduduk kawasan yang sukar mendapatkan dua dos,” katanya selepas lawatan kerja pertamanya ke kilang isi dan selesai Solution Biologics Sdn Bhd (SolBio) bagi vaksin Convidicea CanSino di Bukit Jalil hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam memberikan tempoh sehingga akhir bulan depan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Mosti memastikan enam negeri mencapai kadar vaksinasi Covid-19 melebihi 50 peratus pada akhir bulan depan.

Setakat semalam, enam negeri yang mencatatkan vaksinasi kurang daripada 50 peratus itu adalah Perak (46.9 peratus), Terengganu (46.8 peratus), Johor (46.1 peratus), Kedah (44.2 peratus), Kelantan (43.9 peratus) dan Sabah (38 peratus).

– BERNAMA


Pengarang :