Orang ramai bersama keluarga melakukan aktiviti riadah di Bukit Jugra, Kuala Langat pada 11 September 2021 selepas Kerajaan mengumumkan kelonggaran dan peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bukit Jugra jadi pilihan aktiviti riadah, pengunjung patuhi SOP

BANTING, 11 SEPT: Bukit Jugra menjadi lokasi pilihan orang ramai beriadah dan menikmati pemandangan selepas rentas daerah dibenarkan bagi negeri fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) semalam.

Tinjauan SelangorKini mendapati pengunjung yang hadir masih menjaga tatacara piawai operasi (SOP) seperti tidak berkumpul ramai-ramai dan memakai pelitup muka.

Mohd Firdaus Hamat, 42

Mohd Firdaus Hamat,42, berkata beliau dari Putrajaya mengambil keputusan membawa anak-anak berjalan menikmati pemandangan luar kerana sudah terlalu lama dalam rumah.

“Sepanjang tempoh PKP saya melihat Facebook dan tertarik dengan lokasi Bukit Jugra yang mempunyai pemandangan cantik dan terdapat rumah api.

“Walaupun kerajaan beri kelonggaran kami sekeluarga masih menjaga SOP dan tidak berkumpul di kawasan yang ramai terlalu ramai serta kekal memakai pelitup muka,” katanya kepada SelangorKini.

Suri rumah Normah Ibrahim,37, berkata Bukit Jugra sememangnya lokasi pilihan beliau dan suaminya beriadah membawa anak bersiar-siar namun tidak dapat diteruskan kerana PKP.

“Persekitaran Bukit Jugra selamat dan memudahkan kami membawa kerusi roda bayi. Saya dan suami ingin membawa anak mengambil udara segar.

“Saya agak yakin untuk membawa anak keluar kerana melihat orang ramai tidak berkumpul terlalu lama seperti biasa dan sekadar menikmati pemandangan,” katanya.

Pelajar R.Yathavan,18, turut berkongsi keseronokan dapat melakukan aktiviti luar kerana sebelum ini hanya bermain badminton di hadapan rumah sahaja.

Mohd Kasbi Hamat, 38 berswafoto bersama keluarganya di hadapan Rumah Api ketika mereka beriadah di Bukit Jugra, Kuala Langat pada 11 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya datang bersama kawan-kawan namun tidak mengambil masa lama kerana mengelak untuk berada terlalu lama di kawasan orang ramai,” katanya.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua PPN berkuat kuasa semalam dengan beberapa kelonggaran, termasuk rentas daerah kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin.

Kemudahan yang diberikan sama dengan negeri-negeri yang berada dalam fasa dua sebelum ini seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) antaranya:

– Pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan rentas negeri
– Ibu bapa dibenarkan rentas negeri untuk berjumpa anak bawah 18 tahun
– Dibenarkan makan di gerai dan restoran
– Aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan penginapan di hotel dan homestay

 


Pengarang :