Selangorkini
EXCO Kerajaan Negeri Dato’ Teng Chang Khim (tengah) dan rombongan ketika melawat program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Kompleks Pasar Besar Meru pada 22 September 2021. Foto ihsan Teng Chang Khim
EXCO SELANGOR

Dua blok pasar besar Meru dibina semula babit kos RM8 juta

KLANG, 22 SEPT: Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan semula blok C dan D Kompleks Pasar Besar Meru di sini dengan kos bernilai RM8 juta.

EXCO Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian, Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) Dato’ Teng Chang Khim berkata sebelum ini kedua-dua blok itu diroboh kerana memberi ruang kepada pembangunan Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3).

“Majlis Tindakan Ekonomi Selangor pada minggu lepas telah meluluskan cadangan Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk membina semula blok C dan D kompleks itu.

“MPK akan menggunakan wang tabung pampasan sebanyak RM8 juta. Pembinaan bermula dalam masa terdekat dan dijangka siap pada 2024,” katanya.

Chang Khim berkata demikian ketika melawat program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Kompleks Pasar Besar Meru di sini hari ini.

Pada masa sama, Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang menjelaskan pembinaan semula kedua-dua blok pasar tersebut akan diuruskan pihak kontraktor LRT3.

“Kita serahkan kepada pihak LRT3 bagi memastikan kerja berjalan lancar dan selamat di samping tidak menjejaskan struktur landasan,” katanya.


Pengarang :