Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor merampas 30 kilogram daging khinzir yang cuba diseludup melalui KLIA pada 31 Ogos 2021. Foto MAQIS SELANGOR
AGENDANASIONAL

Elak risiko penularan penyakit, daging khinzir tanpa permit dirampas

SHAH ALAM, 2 SEPT: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mematahkan cubaan membawa masuk 30 kilogram daging khinzir dari China melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.

Jabatan itu memaklumkan pihaknya menjalankan pemeriksaan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terhadap dua warganegara China pada jam 5 petang.

“Pemeriksaan di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA menemukan 80 pek produk daging khinzir yang diletak dalam dua kotak gabus.

“Daging khinzir ini dipercayai dibawa masuk untuk kegunaan sendiri dan ditahan kerana gagal mengemukakan permit import yang dikeluarkan Maqis dan sijil kesihatan dari negara asal,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, semua daging khinzir itu dihantar ke makmal kesihatan veterinar untuk tujuan persampelan penyakit demam babi Afrika (ASF).

“Tujuan larangan membawa masuk daging berkenaan di laluan udara adalah bagi menghalang risiko kemasukan wabak ASF yang boleh merosakkan industri ruminan negara.

“Mengimport sebarang jenis keluaran pertanian tanpa permit sah adalah kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya.

 


Pengarang :