V Ganabatirau bercakap kepada media berkaitan peruntukan rumah ibadat selain Islam (kuil) fasa 2/2021 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 3 September 2021. Foto REMY ARIFIN/ SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Caj krematorium negeri berpatutan banding swasta

SHAH ALAM, 4 SEPT: Caj perkhidmatan krematorium bagi mayat pesakit Covid-19 yang dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini dianggap berpatutan berbanding syarikat swasta.

EXCO kerajaan prihatin berkata waris hanya perlu membayar antara RM150 hingga RM180 manakala kos utiliti, lesen dan pegawai pengurusan ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

“Secara jujur, bukan masalah mampu atau tidak (tetapi) saya nampak kos pembakaran mayat di syarikat swasta lebih kurang RM600. Mereka tidak buat keuntungan kerana itu kos paling minimum.

“Kalau tanya sesetengah syarikat swasta, bolehkah mereka buat RM150? Memang tak boleh sebab mereka tak mampu dan perlu jalankan pentadbiran. Jadi, kos yang dikenakan sekarang bukan sebenar tetapi subsidi PBT,” kata V Ganabatirau.

Beliau bercakap pada program bual bicara bertajuk Usaha Selangor Atasi Kesesakan Krematorium melalui Facebook Media Selangor malam tadi.

Sementara itu, Pengurus Operasi Kanan Fairy Park Group mencadangkan kerajaan menambah tempoh kerja pegawai pengurusan dengan memberi bayaran lebih masa bagi mengurangkan lambakan mayat di hospital.

“Sekarang mayat terlalu banyak dan ia menyebabkan urusan pembakaran tertangguh dua hingga tiga jam di hospital. Jika boleh atasi situasi ini, banyak mayat boleh diproses pada hari sama,” kata Koh Kian Siang.

Sebanyak lima PBT memiliki krematorium iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Perbandaran Sepang.


Pengarang :