Mohd Zawawi Ahmad Mughni bercakap kepada media ketika program Malaysia N49 Prihatin DUN Sungai Kandis sempena Hari Malaysia di Pusat Kihdmat Masyarakat DUN Sungai Kandis, Klang pada 16 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Lebih ramai boleh solat di masjid jika disiplin patuhi SOP

SHAH ALAM, 16 SEPT: Bilangan jemaah di masjid dan surau negeri ini akan ditambah jika masyarakat berdisiplin mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata perkara itu juga dipertimbang apabila Selangor beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kita menetapkan hanya jemaah lengkap dua dos vaksin sahaja dibenarkan untuk berada di masjid dan surau, kita sedang memantau adakah perkara ini dipatuhi.

“Jika semua pihak beri kerjasama baik, Insya-Allah beberapa kelonggaran dan ruang kepada jemaah akan diberi apabila Selangor bergerak ke fasa tiga PPN kelak,” katanya.

Beliau ditemui pada Jelajah Hari Malaysia Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis di pusat khidmat masyarakatnya di sini hari ini.

Pada 3 September, Kerajaan Selangor membenarkan 100 jemaah yang lengkap dos vaksin menunaikan solat Jumaat di masjid manakala 50 orang bagi solat berjemaah termasuk di surau.

Kelonggaran itu perlu dibuat secara bergilir sama ada untuk solat Jumaat atau berjemaah sementara kegiatan lain seperti ceramah hanya dalam talian.


Pengarang :