Seorang peserta melintasi poster Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri anjur semula Selangor Job Fair, bantu belia cari kerja

SHAH ALAM, 16 SEPT: Program Selangor Job Fair akan diadakan semula dalam tempoh terdekat bagi mengatasi masalah pengangguran terutama belia negeri ini.

EXCO pembangunan generasi muda berkata tatacara operasi piawai (SOP) sedang diperinci selain tertakluk kebenaran bagi negeri fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Sekiranya tidak boleh dalam tempoh ini, kita akan laksanakan selepas Selangor beralih ke fasa tiga PPN nanti,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi.

Beliau berkata sebanyak 4.5 peratus atau 100,000 penduduk Selangor tidak bekerja ketika ini, dengan 70,000 daripadanya membabitkan belia.

Jelasnya, pelbagai usaha dibuat bagi mengatasi masalah itu termasuk memperkenal Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang menerima lebih 8,000 permohonan tahun ini.

Selangor Job Fair yang dianjurkan dua tahun lalu menawarkan 11,000 peluang pekerjaan termasuk kepada orang kelainan upaya melalui penyertaan 200 syarikat. Program itu ditangguhkan tahun lalu berikutan kenaikan mendadak kes Covid-19.

Sebanyak 15,000 peluang pekerjaan diwujudkan tahun ini bagi menangani pengangguran melalui program Selangor Kerjaya, Jom Kerja, Selangor Automotif TVET dan Selangor Freelancers.

Belanjawan Selangor 2021 turut memperuntuk RM76 juta bagi membantu penduduk negeri yang hilang pekerjaan melalui beberapa inisiatif susulan penularan Covid-19.


Pengarang :