Petugas dan sukarelawan program Vaksin Selangor (Selvax) bergambar sempena penutupan PPV Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 3 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Hampir 500,000 dos Selvax disuntik seluruh negeri

PETALING JAYA, 3 SEPT: Sebanyak 480,000 dos pelalian Vaksin Selangor (Selvax) berjaya disuntik di kesemua pusat pemberian vaksin (PPV) kendalian Selgate Healthcare sejak dimulakan 26 Jun lalu.

Ketua pegawai operasinya berkata pemberian 252,000 dos pertama dan 228,000 dos kedua menerusi program itu disifatkan sebagai pencapaian terbaik ke arah mencapai sasaran imuniti kelompok di negeri ini.

Ketua Pegawai Operasi Selgate Healtchare, Tengku Iesta Tengku Alaudin

“Alhamdulillah, program ini berjalan lancar sejak dari awal penganjuran dan kita telah menjalankan yang terbaik untuk membantu Kerajaan Selangor mencapai objektifnya agar rakyat negeri ini mendapat suntikan pelalian.

“Susulan itu kita mengambil keputusan menutup PPV dan akan memasuki fasa seterusnya membabitkan pemberian suntikan di Klinik Selcare sekitar Lembah Klang,” kata Tengku Iesta Tengku Alaudin ketika ditemui di PPV Tropicana Gardens Mall hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pemberian vaksin secara bergerak dijangka bermula Isnin depan dengan menumpukan penduduk di kawasan luar bandar yang sebelum ini tiada akses ke PPV.

“Kita jangka Isnin depan dan reka bentuk bas yang akan dijadikan PPV bergerak,” katanya lagi.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Manakala program percuma Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 rakyat yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.


Pengarang :