Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan bakul makanan kepada Naib Ketua AMK Pusat Jestin Raj Savarimuthu sambil diperhatikan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis pelepasan Jelajah Peduli Nadi Rakyat di Ibu Pejabat KEADILAN, Petaling Jaya pada 17 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Inisiatif kurangkan beban rakyat, lebih 250,000 keluarga terima bakul makanan

PETALING JAYA, 17 SEPT: Lebih 250,000 keluarga di Selangor yang terjejas akibat pandemik Covid-19 menerima inisiatif bakul makanan setakat ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan itu adalah antara usaha pihaknya mengurangkan beban rakyat yang bukan sahaja berdepan krisis kesihatan tetapi ekonomi serta kehidupan.

“Rakyat merintih memerlukan sokongan dan sebab itu saban hari Kerajaan Selangor melaksanakan pelbagai inisiatif dan pakej rangsangan yang sebahagiannya membantu masyarakat untuk bertahan.

“Justeru, antara inisiatif kita adalah salurkan makanan asas kepada lebih 250,000 keluarga di Selangor,” katanya berucap pada majlis pelepasan konvoi program Jelajah Peduli Nadi Rakyat di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di sini, hari ini.

Amirudin berkata Selangor juga menyumbangkan makanan asas kepada golongan terjejas di negeri lain antaranya menerusi program Jelajah Peduli Nadi Rakyat.

“Waktu sukar ini kita terus bekerja positif untuk pastikan mampu sampai kepada rakyat dan kepedulian ini bukan hanya di Selangor tetapi digerak ke negeri lain.

“Di saat-saat sukar ini harus kita bersama dan peduli untuk masa depan lebih baik,” katanya.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan setiap DUN menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.


Pengarang :