Petugas kesihatan memberi suntikan kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Seri Serdang di Aurora Place Bukit Jalil pada 9 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jais: Guru Kafa, pegawai masjid enggan divaksin dipanggil untuk suntikan

SHAH ALAM, 3 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan memanggil guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), pegawai masjid dan penolong pendaftar nikah yang enggan mengambil vaksin untuk menerima suntikan pelalian itu.

Pengarahnya Dato’ Shahzihan Ahmad menegaskan mereka yang gagal hadir dalam program khas dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) pada masa yang ditetapkan akan dikenakan tindakan.

“Satu arahan secara rasmi bersurat akan dikeluarkan kepada setiap individu terlibat. Jika mereka tidak hadir, tindakan sewajarnya akan dimulakan mengikut peraturan yang ditetapkan,” menurut kenyataan hari ini.

Semalam, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah guru Kafa, pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin berkemungkinan tidak dibenar meneruskan tugas.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah mereka sepatutnya sedia maklum jika dijangkiti virus Covid-19, suntikan vaksin dapat mengelakkan seseorang itu daripada menerima kesan yang lebih buruk termasuk kematian.

Berdasarkan laporan Jais, seramai 316 guru Kafa yang belum mendapat vaksin dan 95 daripadanya enggan disuntik.

Manakala, seramai 59 pegawai masjid juga belum menerima vaksin dan 11 daripadanya tidak mahu serta enam daripada sembilan jurunikah belum divaksin turut memilih enggan divaksinasi.


Pengarang :