Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau lokasi tanah runtuh di Kemensah Heights, Hulu Kelang pada 18 September 2021. Foto RADIN WAZIR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerja kukuhkan tebing Sungai Kemensah dianggar RM1 juta

SHAH ALAM, 30 SEPT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor akan memasang cerucuk sepanjang 200 meter bagi menstabil dan mengukuhkan tebing Sungai Kemensah.

Kerja yang menelan kos sebanyak RM1 juta memerlukan antara satu hingga tiga bulan untuk diselesaikan, menurut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Katanya, ketetapan itu diputuskan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Selangor semalam selepas mendengar taklimat daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan jabatan berkaitan.

“Kawasan cerun yang runtuh ditutup dengan kanvas bagi menghalang air terus ke permukaan cerun.

“Kerja-kerja pemantauan pergerakan tanah akan terus dilaksanakan sehingga tiada lagi pergerakan tanah dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata pengukuhan tebing dan cerun melalui pembinaan tembok penahan kekal pula dianggarkan
RM6 juta dengan pegawai daerah Gombak akan memudah cara bersama pemilik banglo terlibat.

Beliau menjelaskan pergerakan tanah di seluruh kawasan terbabit juga masih aktif dan diklasifikasikan sebagai zon bahaya oleh Jabatan Mineral dan Geosains Selangor.

Kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights melibatkan tiga unit banglo menjejaskan bahagian belakang rumah bandar di situ pada 17 September lalu.

Dato’ Menteri Besar mengisytihar lokasi tersebut sebagai kawasan bencana dan tiga unit banglo itu belum selamat diduduki termasuk 24 unit rumah bandar yang disaran berpindah buat sementara waktu.

Amirudin ketika meninjau lokasi turut memberi bantuan awal RM500 kepada 27 keluarga mangsa untuk urusan pemindahan atau menampung kos mengeluarkan barang.


Pengarang :