Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Lebih 3,000 penduduk Bukit Gasing dapat subsidi kit ujian kendiri

PETALING JAYA, 20 SEPT: Lebih 3,000 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing menerima manfaat pemberian subsidi bagi pembelian kit ujian kendiri Covid-19 sejak tiga minggu lalu.

Wakil rakyatnya Rajiv Rishyakaran berkata beliau mengambil inisiatif menjual kit itu serendah RM10 di pusat khidmatnya kerana memahami masih ramai terkesan dan amat memerlukan untuk mengetahui tahap kesihatan masing-masing.

“Sambutan amat menggalakkan di mana setiap hari pasti ada yang membeli terutama sebelum harga siling diperkenal kerajaan,” katanya ketika ditemui di Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Pasar Sentosa di sini hari ini.

Rajiv berkata selain itu beliau turut bekerjasama dengan beberapa pihak dan memperkenalkan harga minima bagi ujian polimeras masa nyata (RT-PCR) serta kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

“RTK-PCR hanya RM160 berbanding lebih RM200 di pasaran dan RTK-Ag pula RM60 berbanding RM90 di beberapa tempat. Sejak diperkenal November tahun lalu lebih 50,000 individu mengambil peluang ini,” katanya.

Katanya, bagi mereka yang ingin melakukan ujian saringan itu boleh datang ke Kompleks Rakan Muda di sini yang dibuka setiap hari kecuali Ahad bermula 10 pagi hingga 6 petang.

Pada 12 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Selangor akan mengagihkan 60,000 kit ujian kendiri Covid-19 secara percuma kepada keluarga mangsa yang disahkan positif wabak itu pada September depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kit itu akan diagihkan melalui Pusat Khidmat Masyarakat dan Pejabat Penyelaras DUN.


Pengarang :