Petugas kesihatan, memberi kaunseling sebelum penerima bersetuju bagi mengambil suntikan pelalian Covid – 19 ketika Program vaksinasi khas guru kafa dan pegawai masjid di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Negeri, Shah Alam pada 22 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mais: Warga agama enggan ambil vaksin, bakal berdepan tindakan

SHAH ALAM, 23 SEPT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengenal pasti individu di bawah seliaannya yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 untuk dikenakan tindakan tegas mengikut lunas undang-undang.

Pengerusinya berkata tindakan terhadap guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), anggota jawatankuasa masjid dan surau, penolong pendaftar perkahwinan, perceraian serta rujuk orang Islam itu selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof menjelaskan perbuatan mengingkari, melanggar dan mempertikai perintah baginda sebagai ketua agama Islam merupakan suatu kesalahan.

Katanya individu terbabit boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika disabitkan.

“Mais kecewa dengan tindakan individu berkenaan yang tidak mengambil suntikan vaksin walaupun pelbagai usaha dibuat pihak Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) untuk memastikan mereka berbuat demikian.

“Mais memandang serius perkara ini kerana terdapat sejumlah besar golongan berkenaan berada di bawah seliaan Mais sebagai pihak berkuasa utama dalam pentadbiran agama Islam selepas Sultan Selangor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata keengganan individu berkaitan mengambil suntikan pelalian hanya akan menggagalkan hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok selain memudaratkan masyarakat.

“Apatah lagi individu berkenaan menjalankan tugas melibatkan masyarakat di masjid, surau dan sekolah termasuk warga emas serta pelajar.

“Mais menyeru semua masyarakat Islam untuk mengambil vaksin seperti saranan Kementerian Kesihatan dalam memerangi penularan Covid-19 seterusnya melancarkan pelaksanaan pelan pemulihan negara,” kata Abdul Aziz lagi.

Semalam, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita apabila hanya 203 daripada 873 guru Kafa, ahli jawatankuasa masjid serta jurunikah di Selangor hadir ke Program Vaksinasi Khas Covid-19 petugas hadapan Jais anjuran jabatan itu.

Baginda turut kecewa apabila 96 daripada 203 orang menolak suntikan pelalian Covid-19.


Pengarang :