Pengunjung mendapatkan barangan basah dan kering di jualan segar dari ladang anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Medan Selera Seksyen 7,Shah Alam pada 15 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Nafi ceroboh, PKPS majukan tanah untuk bekalan makanan

SHAH ALAM, 6 SEPT: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menafikan telah menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Panjang di Sabak Bernam seperti didakwa sebuah badan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini.

Sebaliknya agensi itu menegaskan tapak inisiatif jaminan bekalan makanan negeri sedang dibangunkan atas tanah berkeluasan 971 hektar miliknya sendiri yang dikenali sebagai Selangor Smart Agro Park (SSAP).

“Tanah milik PKPS ini berstatus pertanian dan bukannya HSK seperti disahkan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor,” menurut kenyataan PKPS hari ini.

Menurut PKPS, ketika ini Jabatan Alam Sekitar Selangor membenarkan pihaknya melakukan beberapa kerja-kerja pembaikan memandangkan kawasan sering dilanda banjir dan diceroboh.

“PKPS ketika ini sedang menyiapkan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan telah mematuhi semua saranan serta arahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor sebelum memulakan kerja-kerja pembangunan di situ.

“Namun JAS membenarkan PKPS kerja pembaikan sistem perparitan, kolam takungan, penstabilan tanah, kawalan hakisan tanah dan kelodakan dan kawalan saliran tanah gambut,” katanya dalam kenyataan.

Jelas kenyataan itu lagi, PKPS komited melaksanakan projek SSAP berdasarkan lunas undang-undang dan peraturan ditetapkan oleh kerajaan Selangor.

“Sekali lagi ditegaskan sebarang kerja pembangunan ditapak SSAP belum bermula bagi memastikan segala syarat-syarat yang telah ditetapkan dipatuhi terlebih dahulu,” katanya.


Pengarang :