Orang ramai bermain futsal di Sport Station Futsal Balakong, Kajang pada 19 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pengusaha futsal lega dibenar beroperasi, rancakkan kembali aktiviti sukan

BALAKONG, 20 SEPT: Keputusan kerajaan membenarkan gelanggang sukan seperti futsal kembali beroperasi bakal merancakkan semula aktiviti berkaitan dalam kalangan orang ramai.

Pengusaha Sport Station Futsal Andy Choo berkata kebenaran diberikan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) itu melegakan pihak sepertinya yang berdepan kesukaran selepas hampir setahun perniagaan itu ditutup.

“Kita tiada masalah memantau pematuhan SOP Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara kerana pemain serta pegawai terlibat sahaja dibenarkan masuk dengan perlu mendaftar awal.

“Kemasukan orang awam dihadkan pada satu-satu masa kerana hanya mereka terdapat dalam rekod sistem sahaja yang boleh dan tidak bagi penyokong,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang telah 10 tahun membuka arena futsal di sini berkata keputusan kerajaan itu umpama memberi ‘nafas baharu’ kepadanya yang terpaksa menanggung sewa bulanan sehingga RM50,000 sebulan meskipun tidak beroperasi.

Menurutnya, sambutan diterima amat menggalakkan dengan hampir setiap hari ada pengunjung dan berharap pengguna gelanggang mematuhi SOP supaya pengusaha sepertinya tidak mengalami kerugian yang parah.

“Selain itu, saya cadangkan kerajaan melanjutkan waktu operasi sehingga 2 pagi seperti sebelumnya kerana rata-rata ramai pemain futsal pada waktu tengah malam,” katanya yang membuka gelanggang setiap hari mulai 10 pagi hingga 10 malam.

Pada 15 September Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa kelonggaran aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal melibatkan pengoperasian fasiliti sukan terbuka serta tertutup kepada individu lengkap vaksin dengan pematuhan SOP penuh.


Pengarang :