Guru Tadika The Little Caliph Nor Khairani, 28, dan Nur Husna Abdul Rahman, 29, menyusun atur kerusi dan meja bagi menjaga penjarakan fizikal kanak-kanak sebelum memulakan operasi ketika tinjauan di Shah Alam pada 18 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Semua tadika swasta berdaftar di bawah KPM boleh beroperasi

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Pengoperasian tadika mulai Jumaat lepas adalah termasuk semua tadika swasta, tadika di sekolah swasta, tadika di sekolah antarabangsa dan tadika di sekolah ekspatriat yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Seperti mana diumum Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Rabu lepas, KPM menjelaskan bahawa kelonggaran berkenaan merangkumi negeri dalam Fasa Satu dan Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta untuk murid berumur empat hingga enam tahun membabitkan ibu bapa atau penjaganya yang bekerja.

“Pengoperasian ini tertakluk kepada kapasiti bilik darjah dengan penjarakan fizikal yang ditetapkan,” menurut KPM dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Ismail Sabri ketika mengumumkan kelonggaran tatacara operasi piawai PPN untuk beberapa sektor turut memaklumkan bahawa tabika, taska, tadika, pusat jagaan harian serta pusat perkembangan minda dibenarkan beroperasi di negeri Fasa Satu dan Dua PPN.

– BERNAMA


Pengarang :