ADN Kajang Hee Loy Sian membantu sebuah keluarga yang dihimpit kesusahan dengan memberi modal memulakan perniagaan nasi lemak. Foto FACEBOOK HEE LOY SIAN
EXCOSELANGOR

ADN Kajang bantu keluarga dihalau rumah sewa, beri modal niaga nasi lemak

SHAH ALAM, 19 SEPT: Nasib sebuah keluarga yang dihalau daripada rumah sewanya mendapat perhatian Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang Hee Loy Sian.

Loy Sian menerusi Facebook memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung nasib menimpa pasangan Mohd Risainy dan Hafizah sebelum bergegas di Bandar Kajang mencari mereka.

Menurut beliau, setibanya di lokasi pasangan itu bersama tiga anaknya tidur di dalam kereta dalam keadaan berhimpit.

“Hafizah memaklumkan mereka mempunyai tujuh anak iaitu tiga diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seorang meninggal dunia kerana sakit dan tiga lagi dijaganya.

“Keluarga ini diusir daripada rumah sewanya kerana terdapat dua bulan tunggakan dan tuan rumah mengunci semua barang miliknya serta tidak dibenarkan mengambil apa-apa,” katanya.

Loy Sian yang juga EXCO pelancongan memaklumkan pihaknya telah menghubungi beberapa kenalan untuk mencari rumah sewa termasuk membayar wang pendahuluan sewa.

“Saya juga membawa Hafizah membeli bahan dan peralatan antaranya peti sejuk, tilam, dapur memasak dan barangan berkaitan untuk memulakan perniagaan nasi lemak.

“Suami Hafizah dulunya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan disebabkan pandemik beliau terpaksa diberhentikan kerja,” katanya.

ADN Kajang turut berkongsi perasaan yang tersentuh dengan sikap Hafizah yang menghalangnya mengeluarkan banyak duit bagi membantu mereka.

“Saya bertanya lagi kepada Hafizah apa keperluan yang dia perlukan lagi untuk memulakan perniagaan dan kehidupan baharu, tetapi cara beliau dan anaknya membuat hati saya tersentuh dan menghalang saya dari banyak keluarkan duit bagi membantu mereka,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan di akaun Bank Simpanan Nasional suami Hafizah Mohd Risainy 1111729000119021.


Pengarang :