Kenderaan pelbagai guna dibeli menerusi Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang diubah suai bagi menjalankan misi bantuan dan kebajikan di Gaza, Palestin. Foto ihsan Global Peace Mission Malaysia (GPM)
AGENDANASIONAL

Trak Selangor untuk Palestin diserah dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 5 SEPT: Sebuah trak bantuan dibeli hasil kutipan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin dijangka diserahkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) di Gaza, Palestin dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia (GPM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata kenderaan pelbagai guna (MPV) berharga RM150,000 itu diubah suai bagi menjalankan misi bantuan dan kebajikan.

Menurutnya, dua lagi trak bantuan akan dibeli menggunakan dana kutipan fasa kedua dan penyerahannya dijangka dibuat bersama sebuah ambulans kepada pihak berkuasa.

“Trak tersebut akan diserah kepada NGO di lapangan yang menggunakannya untuk menghantar bantuan, membawa pesakit ke hospital dan murid ke sekolah.

“Ambulans pula kepada Kementerian Kesihatan Palestin, mungkin dua minggu lagi siap diubah suai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Fahmi berkata wakilnya telah menyerahkan kotak makanan serta perubatan bernilai RM40,000 kepada penduduk memerlukan yang termasuk dalam pakej bantuan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin.

“Kita akan salur lagi bantuan sama selain petrol bernilai RM50,000 untuk kegunaan menghidupkan generator di hospital,” katanya menjelaskan GPM sudah memohon baki kutipan tabung disalur kepada mereka.

Pada 19 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan tabung berkenaan bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.


Pengarang :